Isnin, 21 Mei 2012

BAKAU- ASET YANG TIDAK TERNILAI HARGANYA.


Mengurus, mengekalkan hutan bakau


Kumpulan Penyelidik FRIM (dari kiri) Dr. Raja Barizan Raja Sulaiman, Dr. Ismail Harun dan Dr. Shamsudin Ibrahim menunjukkan kaedah Comp-Mat yang berkesan untuk penanaman anak bakau di Sabak Bernam, Selangor.

SEBAGAI sebuah negara yang di kelilingi laut, kawasan pinggir pantai Malaysia, sememangnya berisiko diancam hakisan ombak.
Ancaman tersebut tentunya akan menjadi lebih serius dan boleh mendatangkan musibah jika ekosistem kawasan pinggir pantai negara ini terancam atau diganggu-guat.
Salah satu ekosistem penting yang kewujudannya bukan sahaja perlu dikekalkan tetapi juga perlu dipulihara ialah kawasaln hutan bakau.


Sehingga kini Malaysia memiliki hutan bakau seluas 564,971 hektar.
Ia meliputi 101,000 hektar di Semenanjung Malaysia dan Sabah meliputi 59 peratus daripada keluasan tersebut manakala Sarawak 23 peratus daripada keseluruhan tersebut.
Bakau merupakan satu ekosistem pesisir yang banyak menyumbang kepada perkembangan organisme yang menjadikan kawasan tersebut sebagai habitat.


Hutan bakau penting sebagai habitat organisme seperti udang putih (Penaeus merguiensis), P. indicus dan P. vannemei), ikan kerapu (Epenephilus tauvina), siakap (Lates calcarifer) , ketam (Scylla serrata dan belanak (Mugil spp).
Selain itu ia juga menjadi tempat persinggahan pelbagai jenis burung dan menjadi tempat mencari makan bagi beberapa spesies lain. Beberapa tahun kebelakangan ini, orang ramai mula menyedari kepentingan bakau dalam melindungi sistem ekologi kawasan pesisir pantai. Sejak berlakunya kejadian ombak besar atau ‘ombak pelabuhan’ yang lebih dikenali sebagai tsunami dalam bahasa Jepun, bakau kelihatan sangat penting, lebih daripada sekadar faktor ekonomi dan habitat.


Bakau merupakan zon penampan kepada ancaman ribut, ombak kuat dan hakisan.
Hutan bakau di kenal pasti sebagai zon penampan semula jadi yang paling berkesan di pesisiran pantai.
Sasarannya ialah sekurang-kurangnya dalam kawasan sepanjang 100 meter atau 50 meter dari pantai mempunyai hutan bakau bagi mengurangkan kesan tsunami.


Pada masa sama, hutan bakau juga memberi sokongan kepada ekosistem berhampiran pantai terutama melibatkan anak ikan dan udang untuk mencari perlindungan daripada pemangsa yang lebih besar.
Oleh itu, ekosistem bakau merupakan sumber makanan kepada anak-anak ikan dan udang serta juga burung migrasi seperti di Kuala Gula.


Bakau juga berfungsi sebagai penapis segala pencemaran daripada hulu sungai dan sebagai sumber ekonomi kepada peniaga kayu arang. Kerana kepentingannya itu, banyak agensi giat menjalankan kajian bagaimana mengekalkan pokok bakau dalam biodiversiti termasuk kaedah menanamnya.
Ini kerana fenomena hakisan pantai dan kepupusan organisme seakan-akan ada kaitan dengan ancaman terhadap hutan bakau yang sangat bermanfaat itu..


Masalah hakisan tersebut ditakrifkan dalam pelbagai keadaan berdasarkan agensi yang menilainya termasuk Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).
Teknologi pemulihan


Menurut laporan yang dipetik daripada Garis Panduan Teknik Inovatif Penanaman Bakau di Pesisiran Pantai Berisiko Tinggi , terdapat dua langkah untuk mengatasi masalah tersebut iaitu kejuruteraan keras dan kejuruteraan lembut.
Kejuruteraan keras merujuk kepada pembinaan lapisan pelindung, benteng hakisan, pemecah ombak, blok konkrit dan tembok penahan. Di bawah kejuruteraan lembut pula, peranan hutan bakau diiktiraf sebagai kaedah mengawal hakisan. Penanaman semula bakau dengan teknologi tertentu diktiraf kerana ia berfungsi sebagai benteng penahan ombak.


Menurut Pengarah Bahagian Perhutanan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Shamsudin Ibrahim, penyelidikan mengenai bakau yang telah dijalankan sejak sekian lama adalah merangkumi pelbagai bidang.
Ini termasuk kajian mengenai teknik penghasilan bahan tanaman spesies bakau yang mampu menampung permintaan, pengawalan agen-agen perosak bakau dan bukan bakau di pesisiran pantai serta kajian mengenai nipah dan sosioekonomi penduduk di kawasan sekitar. Dua kaedah kejuruteraan yang digunakan termasuklah kejuruteraan keras seperti lapis lindung, benteng hakisan, blok konkrit dan tembok penahan. tetapi inovasi yang lebih baik ialah kejuruteraan lembut, Ini kerana, di sebalik semua kajian tersebut, teknik inovatif penanaman semula bakau menggunakan pelbagai kaedah antara yang penting di beri perhatian.


Teknik yang dikategorikan sebagai kejuruteraan lembut itu juga melibatkan modul penyamaan tekanan penyuburan pantai dan pemecah ombak geotekstil isian endapan. Ternyata memulihara bakau menggunakan teknologi kejuruteraan - ekologi penting sebagai mekanisme penahan ombak. Teknologi tersebut menggunakan bakau sebagai penahan ombak dan memerangkap sedimen.


Teknologi yang diperkenalkan dikenali sebagai geotiub iaitu struktur seperti bantal yang diperbuat daripada geotekstil yang diisi dengan pasir. Ia ditempatkan di tapak kajian pemulihan hutan bakau antaranya di Sungai Dorani, Selangor yang melibatkan FRIM, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Dr. Shamsudin berkata, pihaknya bekerjasama dengan agensi lain seperti JPSM, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Pengairan dan Saliran bagi memastikan hutan bakau terpelihara daripada segala bentuk pencerobohan serta keputusan salah untuk mengubah status penggunaan tanah memandangkan pentadbirannya di bawah kuasa kerajaan negeri.Antara teknik yang digunakan ialah comp-mat atau compress mattres iaitu menggunakan bekas tanaman berbentuk empat segi bujur diperbuat daripada rangka aluminium tahan karat dan dawai bersalut plastik. Teknik kedua ialah comp pillow yang menggunakan coir-log atau gegelung sabut yang bertindak sebagai bekas untuk penanaman. Kaedah ketiga dalam inovasi penanaman bakau ialah BEM atau Bamboo encasement method yang melibatkan penggunaan buluh sebagai bekas tanaman.Buluh bukan sahaja berfungsi melindungi anak pokok daripada pukulan ombak tetapi juga arus laut yang kuat. Dr. Shamsudin memberitahu, selain kajian bakau, turut dijalankan ialah spesies nipah dan kajian mengenai sosioekonomi.




Sejak tahun 2005 kajian di Sungai Dorani melibatkan penanaman 3,000 pokok di kawasan seluas lima hektar melibatkan semua spesies termasuk Rhizophora dan Avicennia.

Tiada ulasan: